~ Buat renungan & iktibar bersama ~
Sesungguhnya aku terima nikahnya kerana aku mengasihi lelaki itu. Setelah bernikah, aku mencintai suamiku sepenuh hatiku, perasaan yang ku tidak tahu dari mana datangnya. Aku meletakkan segalanya kepada suamiku. Begitu besar harapanku terhadap suamiku dan perkahwinanku. Aku meletakkan dia di atas segalanya. Masha ALLAH begitu hebat pengajaran yang aku terima dari ALLAH tentang cinta itu.
Despite everything that happened, kami masih bergelar suami dan isteri. Terasa amat berat hati dan mulut ini untuk mengatakan bahawa kami telah berpisah. Aku lebih gemar beranggapan kami sedang berusaha menyelesaikan masalah antara kami, kami sedang menghadapi dugaan ini, kami sedang mengambil masa dan ruang untuk memperbaiki diri kami.
Disaat ini, bilamana aku membuat keputusan untuk memberi peluang kepada perkahwinan kami, ianya hanyalah kerana cintaku kepada ALLAH. Kerana ALLAH telah menetapkan dia sebagai suamiku, maka pastinya dia pasangan yang sempurna dan terbaik untukku. Pasangan sempurna yang akan membantu aku menjadi hamba ALLAH yang lebih baik dan insha ALLAH membawa keredhaan ALLAH terhadapku.
Jika ini bukan ketentuan ALLAH apa lagi? Oleh yang demikian selagi aku bergelar isteri, akan aku berusaha sedaya upayaku memainkan perananku dan melaksanakan tanggungjawabku sebagai seorang isteri. Aku akan belajar dan terus menerus memelihara maruahnya termasuk juga memelihara diriku dari kemungkaran, menghormatinya sebagai imamku, memberi ketenangan kepadanya walaupun ianya bermaksud aku perlu lenyap dari hidupnya. Aku akan terus memohon kepada ALLAH supaya walaupun untuk sedetik, agar dia redha dan senang dengan kewujudan aku di dalam hidupnya sebagai isterinya.
Aku akan mendoakan kebahagiaan untuknya dunia dan akhirat. Aku akan merayu pada ALLAH supaya memberinya hidayah dan membawanya pulang ke jalanNYA seperti mana ALLAH memanggilku pulang. Supaya ALLAH ketemukannya dengan isteri yang akan memberi ketenangan kepadanya, isteri yang akan memberi kebahagiaan kepadanya dan isteri itu kekal bersamanya hingga ke Jannah.
Cintaku bebas. Cintaku memberi. Cintaku pada suamiku kerana ALLAH. Cintaku terhadap suamiku adalah pemberian paling berharga dari ALLAH kepadaku. Jadi aku yakin dengan cinta ini.
Walaupun pada awalnya aku tersilap dalam menyemai dan memeliharanya…tetapi kini aku telah sedar. ALLAH yang melahirkan perasaan cinta dihatiku hanya untuk suamiku. Oleh kerana ianya lahir setelah kami bernikah, bukankah ianya keberkataan yang ALLAH limpahkan ke atas kami di atas pernikahan kami. Tidak pernah ku sangka aku mampu mencintai seorang lelaki sebanyak ini. Sesungguhnya ALLAH Maha Besar dan Maha Mengetahui.
ALLAH melahirkan perasaan cinta ini dahulu sebelum dugaan kami bermula. Di saat kami diduga dengan hebat, ALLAH mengukuhkan lagi perasaan cinta ini. Dan bila aku merasakan masa untuk melepaskan suamiku makin hampir, cintaku bertambah utuh. Aku melepaskannya pergi demi cintaku kepada ALLAH. Kerana andai itu yang terjadi, pastinya ia terbaik untuk kami.
Dalam tempoh yang begitu singkat, ku merasakan hidupku telah disempurnakan oleh suamiku. Untuk itu aku amat berterima kasih kepada ALLAH kerana memilihku untuk menerima anugerah ini walaupun seketika. Ku bersyukur ALLAH kerana KAU telah memilihku untuk menerima hidayahMU. Aku malu dan tunduk didepan kebesaranMU. Kau telah memberi daku peluang untuk melengkapkan imanku walaupun untuk seketika.
Aku amat malu kepadaMU ALLAH. Begitu besarnya kasihMu kepadaku, hingga tiada satu ketika di dalam hidupku yang alpa selama ini, yang aku kesali. Begitu banyak pengajaran yang kau berikan padaku. KAU tidak pernah meninggalkan aku bersendirian walaupun seketika, walaupun aku sering lalai dalam mengingatiMU. Kau sentiasa bersamaku. Kau melindungiku dan memelihara diriku. Cintaku amat kerdil dibandingkan dengan kasihMU kepadaku.
~ XoXXoO ~
No comments:
Post a Comment